Pages

Guru Lebih Memahami Perangai Murid



"MASIH terngiang-ngiang ucapan seorang bekas Menteri Pendidikan suatu masa dulu. Dengan nada lembut dan tersenyum mesra beliau berkata: “Saya berbangga dengan sikap ibu bapa zaman sekarang yang sangat sayang anak masing-masing hingga mereka tidak dapat menerima apabila guru mengarahkan anak mereka mencuci tandas.

Nasihat saya kepada ibu bapa ini, jika tidak mahu anak disuruh mencuci tandas, silalah hantarkan anak tuan puan bersekolah di sekolah yang tiada tandas”.

Begitu sinikal tetapi tersirat mesej sangat bermakna untuk kita sama-sama fikirkan. Susah penat kita membaca dan mendengar ribuan ulasan berikutan isu ‘pelajar, ibu bapa dan guru' di media sejak kebelakangan ini.

Namun, segala-galanya masih tidak mampu membuka ruang fikir di hati masyarakat kita, khususnya ibu bapa. Mengapa tiada lagi rasa hormat di hati ibu bapa terhadap mereka bergelar guru?

Ke mana hilangnya rasa hormat ibu bapa terhadap insan yang ingin menjadikan anak kita sebagai ‘manusia’?

Ke mana hilangnya nilai kepercayaan ibu bapa terhadap kredibiliti guru sebagai insan yang mampu membentuk anak kita menjadi manusia berguna?

Sering kita membicarakan mengenai isu pembentukan modal insan berteraskan konsep Islam Hadhari. Sering kita debat isu pembentukan mentaliti kelas pertama di kalangan rakyat Malaysia.

Bukan mudah untuk mencapai hasrat itu dalam keadaan pelbagai cabaran merentangi usaha, khususnya dalam membentuk sahsiah diri generasi hari ini. Namun, apakah tercapai semua itu sekiranya tindakan demi tindakan pendidik sering dipertikai?

Bukankah mereka antara penyumbang utama pembentukan modal insan yang memiliki mentaliti kelas pertama seperti yang kita inginkan? Bukankah tindakan mereka interpretasi kepada aspirasi dan cita-cita negara untuk melahirkan insan seimbang dan harmonis?

Ibu bapa dulu membawa rotan bersama-sama anak pada hari pertama pendaftaran di sekolah.

Anak diserahkan kepada guru kelas bersama pesanan ‘saya serahkan anak saya berserta rotan ini.

Cikgu rotanlah dia, didiklah dia sewajarnya asalkan tak patah-riuk’ dan alangkah baiknya sekiranya tradisi ini diteruskan.

Ia akan menjadi bukti betapa ibu bapa percayakan guru, percaya untuk menyerahkan amanah kepada pendidik.

Di sekolah, guru adalah ibu bapa kepada pelajar. Ibu bapa sewajarnya percayakan guru lebih daripada anak sendiri kerana di sekolah, guru adalah pemegang amanah yang sama dipegang oleh ibu bapa ketika anak berada di rumah.

Percayalah, guru lebih banyak mengetahui potensi anak di sekolah (sama ada positif atau negatif) dan ibu bapa tidak perlu melayan rasa ego dengan mengatakan ‘aku lebih kenal anak aku. Aku yang melahir dan membesarkannya.’

Kepada semua ibu bapa, ingatlah bahawa guru adalah golongan sewajarnya dihormati.

Sebarang isu yang timbul sejak kebelakangan ini hanya sekadar ‘ribut dalam cawan’ yang tidak memberikan manfaat jika kita terus berbalah.

Demi matlamat kita untuk ‘memanusiakan’ generasi hari ini, terimalah bahawa apa yang dilakukan oleh guru adalah demi kebaikan anak. Hayatilah Falsafah Pendidikan Negara dan kita akan memahami betapa besar tanggungjawab, sumbangan dan pengorbanan yang diberikan guru untuk anak kita.

Sekalung terima kasih kepada semua guru di Malaysia
.

0 ulasan:

AboutMe

Foto saya
mamat nie sempoi, if you do not know you all thought he was arrogant because he faces is violent..